Seminar Budaya Brunei 26 August 2017

4 Kertas Kerja Dibentangkan
Oleh : Mohd Amirul Hilmi Jali, Mahasiswa UNISSA / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali

BERAKAS, Sabtu, 26 Ogos. - Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan pada Seminar Budaya Melayu yang bertemakan 'Beriga, Medan Penyebaran Ilmu dan Budaya' sempena Sambutan 50 Tahun Penerbitan Jurnal Beriga (1967 - 2017) yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Pembentangan pertama disampaikan oleh Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos, bertajuk 'Manifestasi Budaya dalam Reka Bentuk Mata Wang Brunei dari Abad Ke-16', membincangkan mengenai budaya yang merupakan ciri-ciri dan pengetahuan terkumpul sesuatu kumpulan masyarakat yang terdiri dari beberapa aspek seperti bahasa, agama, masakan, tabiat, muzik dan seni, di mana budaya merupakan identiti sesuatu kumpulan yang telah diasuh atau ditekankan oleh sesuatu corak ataupun tabiat yang unik kepada kumpulan tersebut.

Sementara itu, reka bentuk pula merupakan satu seni dari luahan sesuatu budaya dan reka bentuk merupakan bukti kewujudan sesuatu budaya. Reka bentuk boleh dimanifestasikan di pelbagai media.

Menurutnya, reka bentuk-reka bentuk yang diteliti adalah reka bentuk yang ada pada mata wang Brunei yang digunakan di pasaran atau akan diteliti untuk melihat sejauh mana ia membayangkan atau menggambarkan atau menjadi manifestasi pada budaya bangsa Melayu Brunei semenjak abad ke-16 sehingga sekarang.

Manakala itu, Ahli Urus Setia Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, dalam kertas kerjanya bertajuk 'Pengucapan Budaya Brunei : Pustaka dan Pola Fikir Bangsa' pula menerangkan mengenai masalah atau persoalan rantangan makalah dan melihat sejauh mana pengucapan budaya Brunei dijadikan sarana jiwa batin bagi menunjang kekompakan, kemandirian, keiltizaman dan rangsangan kekitaan untuk bangkit serta meraih sebuah harapan yang ranumnya adalah kecemerlangan.

Pengucapan budaya lahir berdasarkan nalar dan jangkauan yang tinggi serta ketajaman pengamatan sesuatu bangsa, ia juga menunjukkan sesuatu gambaran tentang takat ke dalamnya kita berfikir dan mentafsir alam terkembang menjadi guru itu.

Menerusi pembentangan ketiga yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail yang bertajuk 'Dokumen Penyelidikan dan Kajian di Negara Brunei Darussalam : Pengalaman dan cabaran' antara lain membincangkan mengenai cabaran yang dihadapi ketika melakukan penyelidikan dan pengajian dalam pelbagai bidang ke atas sumber dokumen di Negara Brunei Darussalam.

Antara cabaran itu ialah dari segi tulisan dokumen, kekurangan, kerosakan, status sulit dokumen juga karenah manusia. Semua cabaran ini harus dihadapi dengan sabar dan bijaksana kerana matlamat akhir untuk menghasilkan satu kajian ilmiah.

Manakala kertas kerja yang terakhir pula disampaikan oleh Awang Haji Matusin bin Orang kaya Sura Haji Tuba, bertajuk 'Pergerakan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Negara Brunei Darussalam - Cabaran dan Harapan' yang menyentuh mengenai Pergerakan 1K1P, yang hari ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Pembicaraan juga turut mencakupi pelbagai aspek antaranya pengenalan terhadap Pergerakan 1K1P, sejarah dan latar belakang Pergerakan 1K1P di Negara Brunei Darussalam, objektif dan kaedah pelaksanaannya serta cabaran dan harapan juga beberapa saranan untuk peningkatan pencapaian sebagai rumusan.

Ihsan Pelita Brunei

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island