Sejarah Kenangan Kampong Ayer



Sejarah kenangan Kampong Ayer
September 30, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

MENURUT cerita daripada orang-orang tua asal penduduk Kampong Ayer bahawa kampung ini sudah wujud lebih lima ratus tahun dahulu. Ini juga berdasarkan daripada sejarah lama dan warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.

Dalam awal tahun 1950-an, sebahagian kawasan Kampung Sumbiling Lama dan Kampung Bukit Salat telah dipindahkan ke tebing sungai berdekatan dengan Jambatan Rangas Lama. Ini adalah kerana untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada ketika itu. Jambatan Rangas adalah jambatan terawal pada masa itu bagi kemudahan perhubungan menyeberangi Sungai Kedayan menuju Kampung Pusar Ulak.

Manakala Kampung Ujong Bukit dan Kampung Sungai Kedayan (juga dikenali sebagai ‘Kampung Pandai Emas’) adalah kampung terawal yang mahir dalam bidang perusahaan tembaga asli Brunei. Menurut cerita orang-orang tua dahulu, tempat asal bidang pembuatan emas Brunei adalah berasal dari Kampung Pandai Emas dan tempat asal pembuatan perak dan tembaga pula adalah dari Kampung Ujong Bukit.

Segala cerita yang penulis perolehi ini adalah bersumberkan daripada orang-orang tua dahulu. Penulis setentunya tidak melupakannya hinggalah sekarang kerana kalau tiadanya mereka itu, maka kisah-kisah lama yang sangat berharga ini pasti akan pupus ditelan zaman. Ini juga amat penting agar dapat diturunkan kepada generasi-generasi baru.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island